Jun 25, 2020 - FASDalam usaha mencegah wabak Covid 19 yang melanda dunia, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah mengambil beberapa langkah pencegahan dalam menjaga keselamatan para pemain dan pegawai skuad utama Selangor.
Kesemua pemain dan pegawai pasukan utama Selangor telah disahkan negatif daripada Covid-19 selepas melalui ujian saringan yang dijalankan pada 15 Jun lepas.
Bermula minggu ini, pasukan utama Selangor telah mula menjalani sesi latihan secara berkumpulan mengikut jadual bagi bersiap sedia untuk perlawanan liga yang akan diumumkan kelak.
FAS juga telah mewujudkan Penyelaras Anti Covid-19 untuk memastikan dan memantau pemain, pegawai dan yang berkaitan dengan pasukan bebas daripada simptom wabak ini sebelum dan selepas latihan.
"Walaupun banyak perbezaan dari segi latihan tetapi menjadi keutamaan FAS dalam menjaga keselamatan pemain dan pegawai dalam usaha mencegah wabak ini," menurut Faiz Ruslan, Pegawai Penyelaras Anti Covid-19 dan Koodinator skuad utama Selangor.
Selain itu, beliau juga akan memastikan peralatan latihan akan dibersihkan dan nyah kuman setiap kali sebelum dan selepas latihan dijalankan bagi memastikan peralatan tersebut selamat untuk digunakan semua.
Tindakan FAS ini selaras dengan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Semoga dengan langkah-langkah yang diambil ini dapat membantu pasukan untuk terus menjalani latihan sehingga MKN, KKM, KBS dan MFL mengumumkan perancangan seterusnya.